Sunday, February 23, 2014

MEMO: Aktiviti Gotong-Royong Kali Ke-2

AKTIVITI GOTONG-ROYONG KALI KE-2 MEMBERSIHKAN KAWASAN RUMAH PANGSA DESA MEWAH


Ajk Jawatankuasa Penduduk Pangsa Desa Mewah mengalu-alukan kehadiran semua pemilik dan penyewa Pangsa Desa Mewah untuk bersama-sama menjalankan aktiviti gotong-royong kali ke-2 bagi membersih dan mengindahkan persekitaran kawasan Pangsa Desa Mewah pada tahun ini, seperti berikut:

Tarikh :  23-Mac-2014 (Ahad)
Masa:    8:30 Pagi
Aktiviti:
·         Gotong-royong

·         Makan tengahhari

Semoga dengan kehadiran Tuan/Puan sekeluarga akan dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan di kalangan penduduk Pangsa Desa Mewah dan sama-sama mendapat manfaat.
Sehubungan dengan ini, pihak kami juga ingin mendapatkan kerjasama dari pihak tuan/puan untuk menghulurkan sumbangan minimum sebanyak RM 10.00 setiap unit rumah. Sumbangan ini adalah di perlukan untuk membiayai kos makan tengahari serta peralatan gotong-royong. Pihak ajk akan memulakan kutipan pada tarikh 23.02.2014 hingga ke tarikh aktiviti tersebut.
Sekiranya terdapat lebihan wang sumbangan, wang tersebut akan di gunakan untuk aktiviti seterusnya yang akan di rancang oleh pihak AJK Jawatankuasa Penduduk. Sebarang maklumat akan kami beritahu dari semasa ke semasa di papan kenyataan yang berada di tingkat bawah.
Sekian, terima Kasih


Yang benar

…………………………………..
WAN AHMAD B. WAN CHIK
PENGERUSI PERSATUAN PENDUDUK
PANGSA DESA MEWAH (PPPDM)

MAKLUMAT: Matlamat Penubuhan Persatuan Penduduk Pangsa Desa Mewah (PPPDM)

25 August 2013 / Ahad, adalah tarikh bermulanya aktiviti Persatuan Penduduk Pangsa Desa Mewah (PPPDM) KLIK SINI.

Matlamat penubuhan Persatuan Penduduk Pangsa Desa Mewah (PPPDM) adalah bertujuan untuk menubuhkan JMB (Joint Management Building) @ Badan Pengurusan Bersama.

Apa itu JMB?

Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan & Pengurusan Bangunan) 2007 (Akta 663) yang berkuatkuasa pada 12 April 2007 telah mewajibkan semua pemaju untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) di semua bangunan bertingkat yang tertakluk di bawah Akta Hakmilik Strata. PKNS sebagai pemaju akan menubuhkan JMB di Apartmen/Pangsapuri/Rumah Pangsa Kediaman Tuan/Puan.

SOALAN 1: Apakah Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB)?
JAWAPAN 1: Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) ialah satu jawatankuasa yang dianggotai dan ditadbir oleh Pemilik Petak/Penduduk dalam mengurus dan menyenggara bangunan. JMB diwajibkan di semua bangunan bertingkat yang tertakluk di bawah hakmilik strata.

SOALAN 2: Kenapa perlunya JMB?
JAWAPAN 2: Penubuhan JMB adalah perlu selaras dengan Akta 663 yang mewajibkan Pemaju untuk menubuhkannya sehingga hakmilik strata dikeluarkan dan Perbadanan Pengurusan ditubuhkan.

SOALAN 3: Bilakah Penubuhan JMB dikuatkuasakan?
JAWAPAN 3: Bagi pangsapuri yang telah menerima kunci kediaman dan belum menerima hakmilik strata, pemaju hendaklah menubuhkan JMB dalam tempoh 12 bulan dari 12 April 2007 atau dari tarikh mengambil kunci rumah kediaman.

SOALAN 4: Apakah Tanggungjawab dan kuasa JMB?
JAWAPAN 4: Tanggungjawab dan kuasa JMB adalah mematuhi notis PBT, menyenggara harta bersama, mendaftarkan JMB, menentukan dan mengenakan caj penyenggaraan, memastikan Kumpulan Wang Penyenggaraan Bangunan diaudit, mentadbir Kumpulan Wang Penyenggaraan Bangunan, menguatkuasa kaedah dalaman (House Rules), mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dan Luar Biasa, menginsuranskan bangunan, menyediakan dan menyenggara daftar pembeli, lain-lain perkara yang berkaitan penyenggaraan bangunan dan menyenggara Singking Fund.

SOALAN 5: Siapakah Ahli-ahli JMB dan berapakah bilangan ahli-ahlinya?
JAWAPAN 5: Ahli-ahli JMB atau dikenali sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) terdiri daripada Pembeli dan Pemaju. Bilangan Pembeli mestilah tidak kurang dari 5 orang dan tidak lebih daripada 12 orang. Senarai ahli JMC ialah Pengerusi, Setiausaha, Bendahari, Ahli Jawatankuasa sementara 1 wakil dari Pemaju.

SOALAN 6: Berapa lama tempoh jawatan tersebut?
JAWAPAN 6: Ahli JMC memegang jawatan tidak melebihi 3 tahun atau sehingga pembubaran JMB.

SOALAN 7: Bagaimana Ahli JMC dipilih?
JAWAPAN 7: Perlantikan ahli JMC diadakan pada Mesyuarat Pertama secara undian tangan. Urusan mengadakan mesyuarat tersebut akan dikendalikan oleh Pemaju dengan memberi notis bertulis 14 hari kepada Pemilik Petak/Penduduk dari tarikh mesyuarat yang dijangka akan diadakan.

SOALAN 8: Siapakah yang layak mengundi?
JAWAPAN 8: Pemilik Petak/Penduduk yang tidak mempunyai tunggakan sahaja layak untuk mengundi.

SOALAN 9: Bagaimana pula dengan penduduk yang mempunyai tunggakan?
JAWAPAN 9: Penduduk yang mempunyai tunggakan boleh hadir ke mesyuarat tersebut tetapi mereka tidak boleh mengundi.

SOALAN 10: Bagaimana jika Pemilik Petak/Penduduk tidak hadir ke mesyuarat tersebut walaupun layak untuk mengundi?
JAWAPAN 10: Pemilik Petak/Penduduk tersebut boleh mewakilkan kepada orang lain dengan mengisi Borang Proxy dan menghantar borang tersebut kepada Pemaju dalam tempoh 7 hari sebelum tarikh mesyuarat diadakan.

SOALAN 11: Bagaimana jika ada persamaan undi bagi sesuatu resolusi/perkara?
JAWAPAN 11: Pengerusi yang baru dipilih pada mesyuarat tersebut akan membuat keputusan bagi persamaan undi tersebut.

SOALAN 12: Apakah kuorum bagi mengadakan Mesyuarat Agung JMB?
JAWAPAN 12: Kuorum bagi mengadakan mesyuarat Agung JMB ialah ¼ daripada pembeli yang berhak mengundi.

SOALAN 13: Bagaimana jika kuorum masih tidak mencukupi?
JAWAPAN 13: Jika dalam masa ½ jam, kuorum masih tidak mencukupi, Pemilik Petak/Penduduk yang hadir berhak untuk membentuk suatu kuorum.

SOALAN 14: Bagaimana jika tiada pemilik petak/penduduk yang hadir atau tiada yang ingin menganggotai JMC?
JAWAPAN 14: Jika selepas 1 jam tiada yang hadir atau tiada yang ingin menganggotai JMC, pemaju akan memaklumkan kepada Pesuruhjaya Bangunan secara bertulis dalam tempoh 7 hari dari tarikh mesyuarat telah diadakan. Pesuruhjaya Bangunan akan memaklumkan sama ada untuk menetapkan semula tarikh mesyuarat yang baru atau melantik ejen pengurusan bagi mentadbir dan menyenggara bangunan tersebut.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor

Persiaran Barat, Off Jalan Barat
46505 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-7957 5066/7957 4144 • Faks: 03-7957 5250/7594 5271
E-mel: general@pkns.gov.my
Laman Web: www.pkns.gov.my


Tujuan pihak persatuan ingin menubuhkan JMB adalah untuk mengambil alih sistem pengurusan & penyenggaraan yang kini  masih dibawah naungan IPC Island Consultants Sdn Bhd. Ini kerana pihak berkenaan mengenakan cas bayaran bulanan yang amat tinggi pada penduduk disini. KLIK SINI

Dalam pada masa yang sama juga adalah untuk mengatasi masalah-masalah sosial yang berlaku di Pangsa Desa Mewah ini. KLIK SINI

Oleh itu, Pihak persatuan ingin membantu dan menaikkan taraf kualiti hidup penduduk disini dengan mengharapkan kerjasama dan sokongan yang kuat daripada penduduk disini. Ini kerana apa yang kami lakukan adalah untuk kebaikan kita bersama dan tidak mendapat bayaran pun dari hasil kerja yang dijalankan.Kami amat mengharapkan sumbangan wang ataupun tenaga yang amat kami perlukan untuk membangunkan tujuan ini..

Akhir kata, Pihak persatuan menyeru marilah sama-sama kita buka minda dan marilah sama-sama kita usaha untuk menaikkan taraf kualiti hidup kita di Pangsa Desa Mewah ini.

"RUMAH KITA TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA"

MESYUARAT: Mesyuarat Ketiga AJK Persatuan Penduduk Pangsa Desa Mewah



16 Februari 2014 / Ahad / 9.00pm, Mesyuarat Ketiga AJK PPPDM telah diadakan. Antara isu yang dibincangkan didalam mesyuarat tersebut adalah isu berkaitan:

  1. Masalah Penduduk - Membuat bising yang keterlaluan dan mengganggu ketenteraman penduduk, terdapat segelintir penduduk yang membuang sampah di dalam longkang dan merata-rata tempat.
  2. Masalah Khinzir - Beberapa ekor khinzir yang terlihat oleh penduduk berkeliaran di kawasan Pangsa Desa Mewah.
  3. Sekuriti - Mencadangkan melantik sekuriti sendiri (Mengambil pengawal yang dilantik oleh pihak persatuan)
  4. Aktiviti Gotong Royong - Mengadakan aktiviti gotong royong kali ke-2 pada 23 Mac 2014 bersamaan hari Ahad pada jam 8.30am, Mengutip sumbangan kewangan dari penduduk untuk menjayakan aktiviti tersebut, Memgutamakan untuk membersihkan longkang besar yang disyaki tersumbat.  

"BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH"

DANA: PENYATA AKAUN PPPDM | FEBRUARI 2014


BUTIRAN
BARANG
MASUK
KELUAR
Jumlah Baki Selepas Aktiviti Perjumpaan Penduduk pada 04.01.2014

RM 148.80

Aktiviti Mengunci Rumah Terbiar & Terbengkalai (C-3A-1) & (C-5-2) atas tujuan keselamatan pada 18.01.2014
2 Biji Solex, 1 Rantai & Paku kayu

RM 41.00
2 Selak Pintu

RM 7.00
9 Selak Tingkap

RM 4.00
Aktiviti Membaikpulih Setiap Lampu Koridor di Tingkat Bawah & Kawasan Tangga Sahaja pada 15.02.2014
5 Philips Tube

RM 29.10
6 Choke

RM 47.40
3 Starter

RM 3.90
, 1 Casing Holder

RM 0.90
JUMLAH WANG KELUAR

RM 133.30
JUMLAH BAKI TERKINI
RM 15.50


 #Jumlah baki tersebut akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti akan datang. 

SURAT: Surat Penyerahan Cekap Kepada IPC

1 Julai 2013, Isnin, adalah tarikh rasmi dimana penyerahan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan rumah Pangsa Kos Rendah Taman Desa Mewah dari Cekap Corporation Berhad (Pemaju) kepada IPC Island Property Consultants Sdn Bhd.



SURAT: CEKAP Corporation Sdn Bhd (Hak Milik Strata)

21 Jun 2013 / Jumaat, Pihak dari Cekap Corporation Sdn Bhd telah menghantar surat ke setiap penduduk Pangsa Desa Mewah.



# Sebagai sumber rujukan kepada pemilik rumah yang tidak dapat surat ini.



Followers